GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Faris Fuad


Kuala Kubu Bharu: Seorang tukang masak warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana membunuh seorang pesakit mental di sebuah pusat psikiatrik bulan lalu.

Mohammad Abdul Alim, 33, mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret yang juga Hakim Siti Fatimah Talib.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Mohammad membunuh Leong Kam Ming, 53, di rumah Psychiatric Homecare Service Sdn Bhd di Rawang, antara 6 hingga 6.30 petang pada 24 Disember lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, Mohammad didakwa memasuki dan berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah di pusat sama, 2.23 pagi pada 27 Disember lalu.

Tertuduh tidak membuat sebarang pengakuan terhadap kesalahan berkenaan.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua–duanya dan sebatan tidak lebih enam kali.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Asmaa' Zamri memohon tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak diikat jamin sebelum ia dibenarkan oleh hakim.

Mahkamah menetapkan 27 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 2:16 PM