LAPORAN portal Harian Metro mengenai isu syarikat pengeluar minuman keras menjual minuman keras tanpa alkohol yang dikatakan mengelirukan pengguna Islam.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai isu syarikat pengeluar minuman keras menjual minuman keras tanpa alkohol yang dikatakan mengelirukan pengguna Islam.
Faliq Lajim


SLOGAN ‘Now You Can’ (sekarang anda boleh) dalam iklan bir tanpa alkohol, Heineken 0.0, ditujukan kepada pengguna bukan Islam di negara ini.

Heineken Malaysia Berhad (Heineken) dalam kenyataannya menjelaskan, pihaknya sudah memaklumkan produk itu tidak halal dalam sidang akhbar pelancaran produk itu sebelum ini.

Katanya, produk itu diperkenalkan bagi memberi pilihan kepada pengguna bukan Islam menikmati bir tanpa kesan alkohol.

“Produk itu hanya disasarkan kepada pengguna bukan beragama Islam dan berusia 21 tahun ke atas sahaja.

“Semua produk itu diletakkan di bahagian tidak halal di pasar raya atau kedai runcit dengan papan tanda jelas memaklumkan ia bukan untuk orang Islam dan hanya dijual kepada mereka yang berusia 21 tahun ke atas,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Heineken akan meletakkan papan tanda memaklumkan perkara yang sama untuk kedai yang tidak mempunyai bahagian tidak halal.

Heineken memberi reaksi itu susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menasihatkan syarikat pengeluar minuman keras di negara ini supaya tidak mengelirukan pengguna, khususnya umat Islam dengan penjualan minuman keras tanpa alkohol.

Portal Harian Metro memetik Mujahid sebagai berkata, pengeluaran produk seperti itu tidak wajar dan mengelirukan kerana proses penghasilan minuman berkenaan, termasuk penyulingan air dibuat dalam kerangka menghasilkan arak beralkohol.

Berita berkaitan

Jangan kelirukan pengguna

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 5:18 PM