Nazdy Harun

Kuala Berang: Seorang penternak lebah kelulut berputih mata apabila 48 sarang lebah kelulut bernilai lebih RM26,000 miliknya musnah akibat banjir yang berlaku sebelum ini.

Yahaya Abdullah, 62, dari Kampung Lubuk Periuk di sini, berkata dia mula menternak lebah kelulut sejak empat tahun lalu namun kejadian banjir luar biasa yang berlaku pada Februari dan Disember lalu menyebabkannya mengalami kerugian.

Katanya, dia menternak dua spesies lebah kelulut iaitu Itama dan Thoracica namun sarang lebah yang diletakkan di atas bongkah batu dihanyutkan banjir yang diibaratkan luar biasa kali ini.

"Biasanya banjir yang berlaku tidak seperti ini kerana paras air yang melimpah kali ini mencecah hingga dua meter hingga menghanyutkan sarang kelulut.

"Banjir sebelum ini tidak begitu dalam seperti yang berlaku pada Februari dan Disember itu yang membuatkan saya tidak sempat untuk mengalihkan semua sarang lebah berkenaan," katanya.

Menurutnya, ketika sibuk mengalihkan barangan di dalam rumah berikutan air meningkat secara mendadak, dia tidak sempat mengalih kesemua sarang kelulut hingga dihanyutkan banjir.

Katanya, walaupun mengalami kerugian namun dia tidak berputus asa dan akan terus menambah sarang lebah kelulut selepas ini kerana hasil jualan madu kelulut merupakan salah satu pendapatannya.

Yahaya berkata, buat masa ini dia memasang perancah besi dan meletakkan sarang kelulut di atasnya bagi mengelak berlakunya kerugian sekiranya berlakunya bencana banjir.

"Sekiranya sarang kelulut tidak rosak pendapatan hasil menjual madu kelulut boleh mencecah hingga RM4,000 namun bergantung kepada madu yang terhasil.

"Namun, dengan baki 15 sarang yang tinggal hasilnya tidak begitu banyak namun saya bersyukur kerana masih ada sarang yang dapat diselamatkan walaupun sebahagian besarnya musnah dan dihanyutkan banjir.

"Banjir yang berlaku dua kali pada tahun lalu amat luar biasa kerana kedalaman air agak tinggi dan tidak seperti tahun-tahun sebelumnya hingga saya tidak sempat menyelamatkan sarang kelulut yang berada bersebelahan rumah," katanya.

Yahaya berkata, walaupun mengalami kerugian namun dia menganggap ia sebagai satu cabaran buatnya dan akan terus berusaha kerana bidang pertanian dan penternakan merupakan sumber rezeki buatnya.

Menurutnya, kedudukan kampung yang sering dilanda banjir mengajarnya untuk lebih berhati-hati selepas ini untuk menempatkan sarang kelulut di kedudukan lebih tinggi supaya tidak terjejas sekiranya berlaku banjir.

Katanya, untuk mendapatkan sarang biasanya dia akan membeli daripada penduduk setempat sebelum sarang itu ditempatkan di perkarangan rumahnya.

"Kebiasaannya satu sarang boleh mengeluarkan antara 500 gram hingga satu kilogram madu dan ia dipungut antara bulan Januari hingga Oktober," katanya.

Yahaya Abdullah, 62, melihat sarang kelulut yang dapat diselamatkan akibat banjir. FOTO NAZDY HARUN
Yahaya Abdullah, 62, melihat sarang kelulut yang dapat diselamatkan akibat banjir. FOTO NAZDY HARUN

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 2:50 PM