Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Batu Gajah: Penetapan waktu kerja anjal atau fleksibel menerusi pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 tidak bersifat memaksa majikan sebaliknya hanya digalakkan bagi memangkin produktiviti pekerja.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, terpulang kepada majikan sama ada mahu melaksanakannya atau tidak.

"Dengan adanya pindaan dalam akta ini, maka ia akan menjadi satu galakan yang lebih bersifat perundangan tetapi tiada paksaan. Jadi ini adalah satu penambahbaikan kepada sistem atau cara kita bekerja.

"Bukan semua orang boleh mengikuti masa yang sama untuk bekerja, contohnya mungkin ada pihak tertentu yang tidak boleh bekerja antara jam 8 pagi hingga 5 petang disebabkan beberapa urusan seperti tanggungjawab keluarga hingga memaksa masuk kerja lewat dan sanggup balik lewat," katanya ketika ditemui pemberita selepas program Khatan Perdana di Surau Nurul Huda, Taman Tasek Putra, Tronoh, di sini, hari ini.

Beliau berkata, majikan digalakkan mengadakan waktu kerja anjal yang mana seseorang masih perlu bekerja untuk satu tempoh masa tertentu seperti ditetapkan dalam seharian.

"Kita mahu mereka bekerja untuk satu tempoh tertentu yang mana setiap hari dia tetap kena kerja untuk tempoh masa itu. Apa masalahnya kalau dia boleh bekerja untuk tempoh itu walaupun tidak ikut jadual ditetapkan, dan itulah kaedah yang disarankan dalam undang-undang ini," katanya.

Semalam, Sivakumar dalam satu program di Shah Alam dilapor berkata, pindaan Akta Kerja 1955 berkaitan waktu kerja fleksibel antara perkara yang bakal diberi tumpuan oleh kementerian termasuk beberapa pelan lain yang dirancang dilaksanakan dalam masa terdekat.

Pindaan Akta Kerja 1955 sepatutnya mula berkuat kuasa 1 September lalu namun ditangguhkan ke 1 Januari ini selepas pihak industri dan majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa faktor termasuk memerlukan sedikit masa berikutan kebanyakannya masih dalam proses pemulihan ekonomi.

Antara kandungan pindaan yang ditangguhkan itu ialah penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 11:58 AM