GAMBAR hiasan. FOTO Bernama.
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama.
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Penumpuan angin dijangka berlaku di persisiran utara dan tengah Sarawak yang berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan berkenaan pada esok hingga Sabtu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata ramalan itu dibuat berdasarkan analisis model-model cuaca.

Menurutnya, angin kencang timur laut juga dijangka memasuki rantau negara bermula esok dan berpotensi membawa angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan.

"Sehubungan dengan itu, METMalaysia sudah mengemaskini amaran hujan berterusan membabitkan Sarawak berkuat kuasa bermula esok hingga Sabtu ini.

"Amaran angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 5 Januari tahun hadapan," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook MetMalaysia, hari ini.

Justeru, beliau berkata, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 5:22 PM