WARGA emas, Intan Salleh, 88, dilihat membersihkan pakaian yang diselaputi lumpur. FOTO Bernama
WARGA emas, Intan Salleh, 88, dilihat membersihkan pakaian yang diselaputi lumpur. FOTO Bernama
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Besut menjadi daerah terbaharu pulih daripada banjir apabila kesemua mangsa yang terjejas dibenarkan pulang secara berperingkat hari ini.

Cuaca yang semakin baik menyebabkan seramai 348 mangsa daripada 85 keluarga yang berada di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Besut dibenarkan pulang selepas PPS itu ditutup pada 2 petang.

Sehingga 6 petang, seramai 14,753 mangsa daripada 3,829 keluarga berada 65 PPS di enam daerah kecuali Marang dan Besut.

Ia menunjukkan penurunan berbanding seramai 16,183 orang daripada 4,223 keluarga di 77 PPS setakat 12 tengah hari tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, jumlah mangsa banjir di Kemaman menurun kepada 6,885 mangsa daripada 1,772 keluarga di 16 PPS.

Sebelum ini, seramai 8,308 mangsa daripada 2,107 mangsa berada 23 PPS di Kemaman.

Bagaimanapun, Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi yang terjejas akibat bencana itu.

Di Hulu Terengganu, seramai 4,560 mangsa daripada 1,142 keluarga yang terjejas dipindahkan ke 19 PPS.

Jumlah mangsa di Dungun menurun kepada 2,517 orang membabitkan 704 keluarga di 22 PPS.

Empat PPS masih dibuka di Kuala Nerus bagi menempatkan 386 mangsa daripada 107 keluarga.

Sebelum ini, seramai 498 mangsa berada di lima PPS membabitkan 139 keluarga.

Tiga PPS masih dibuka di Kuala Terengganu bagi menempatkan seramai 398 mangsa daripada 103 keluarga

Jumlah mangsa di Setiu juga menurun apabila hanya satu keluarga membabitkan tujuh mangsa ditempatkan di satu PPS.

Ketika ini, keadaan cuaca bertambah baik di kebanyakan kawasan di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 7:33 PM