KEADAAN tiga kampung Kajang Sebidang, Naga Ibu dan Kubang Sawa di Pengkalan Kubor di sini, dipenuhi banjir akibat limpahan Sungai Golok serta aliran daripada daerah Pasir Mas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KEADAAN tiga kampung Kajang Sebidang, Naga Ibu dan Kubang Sawa di Pengkalan Kubor di sini, dipenuhi banjir akibat limpahan Sungai Golok serta aliran daripada daerah Pasir Mas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 17,397 orang sehingga jam 9 malam ini, berbanding 18,528 orang petang tadi.

Kesemua mereka membabitkan 5,818 keluarga ditempatkan di 48 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah.

Sehingga kini daerah yang masih dilanda banjir adalah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Bachok dan Pasir Puteh.

Berdasarkan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Kelantan, Pasir Mas masih merekodkan mangsa paling ramai iaitu 12,066 orang membabitkan 4,158 keluarga yang ditempatkan di 23 PPS.

Tumpat pula merekodkan 3,986 mangsa membabitkan 1,303 keluarga di 13 PPS.

Manakala Pasir Puteh merekodkan 690 mangsa daripada 182 keluarga yang ditempatkan di enam PPS.

Sementara itu, Bachok merekodkan 551 mangsa membabitkan 144 keluarga di lima PPS dan Tanah Merah membabitkan 104 mangsa daripada 31 keluarga di satu PPS.

Terdahulu, empat PPS di Kelantan tutup hari ini membabitkan daerah Kota Bharu, Kuala Krai, Jeli dan Machang apabila semua mangsa dibenarkan pulang selepas kediaman mereka pulih daripada banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 10:23 PM