Rafidah Mat Ruzki dan Mohd Zaky Zainuddin


Putrajaya: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan parti politik yang menyokong pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memeterai perjanjian berkaitan kerjasama itu esok.

Ia mendahului usul percaya yang bakal dibentangkan di Parlimen, Isnin ini.

Fadillah berkata, ia membabitkan semua ketua parti yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.

"Semua ketua parti sudah berbincang, malah hari ini saya balik ada mesyuarat di peringkat Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk melihat kandungan perjanjian," katanya yang juga Ketua Whip GPS, ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Fadillah berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai inti pati perjanjian itu.

Beliau berkata, isu membabitkan janji dalam manifesto juga tidak dibincangkan pada mesyuarat Kabinet semalam kerana ia tidak boleh mengikut parti tertentu berikutan pentadbiran ketika ini adalah Kerajaan Perpaduan.

Pun begitu, katanya, fokus Kerajaan ketika ini adalah membabitkan kos sara hidup.

Sebelum ini, dilaporkan parti politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan dijangka memeterai perjanjian dalam usaha mengukuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri.

Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dilaporkan berkata, beliau akan hadir pada majlis itu sejajar sokongan Warisan kepada Anwar selaku Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan yang diketuainya demi mengukuhkan kedudukan kerajaan sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 12:41 PM
Fadillah Yusof (tengah), bercakap kepada wakil media ketika Majlis Konvokesyen Institut Perladangan Dan Komoditi (IMPAC) ke-8. di Hotel Everly, Putrajaya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Fadillah Yusof (tengah), bercakap kepada wakil media ketika Majlis Konvokesyen Institut Perladangan Dan Komoditi (IMPAC) ke-8. di Hotel Everly, Putrajaya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI