NIK Nazmi melancarkan simbolik stesen cas kereta elektrik pada majlis Pelancaran Stesen Pengecas EV Bangi Golf Resort. FOTO Hazreen Mohamad
NIK Nazmi melancarkan simbolik stesen cas kereta elektrik pada majlis Pelancaran Stesen Pengecas EV Bangi Golf Resort. FOTO Hazreen Mohamad
Noor Atiqah Sulaiman


Bangi: Kerajaan bercadang membawa masuk kenderaan elektrik (EV) di bawah harga RM100,000 bagi memberi manfaat kepada golongan pertengahan sekali gus mencapai hasrat menjadikan negara rendah karbon pada masa depan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui kebanyakan harga EV kini melebihi RM100,000 dan sudah tentu ia di luar kemampuan kebanyakan rakyat.

"Kebanyakan EV yang masuk dalam pasaran kita ini lebih daripada RM100,000, jadi kita akan lihat bagaimana kerajaan dapat main peranan, antaranya untuk jalinkan kerjasama dengan syarikat automotif berkaitan.

"Kita sedang lihat bagaimana boleh membawa masuk kenderaan EV yang lebih mampu milik (sama ada) kenderaan itu dipasang di negara ini yang mungkin membantu kita untuk tawarkan EV (dengan harga) yang lebih rendah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Stesen Pengecas EV Bangi Resort di Hotel Bangi Golf Resort, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi menggalakkan penggunaan EV di negara ini, banyak insentif diberikan kerajaan dalam mendukung hasrat menjadikan negara ini bebas karbon.

"Sebelum ini pun kerajaan sudah beri insentif untuk pemilikan EV dan sebagainya, namun untuk masa akan datang kita akan lihat kembali sama ada Belanjawan 2023 ini akan disemak semula atau pada Belanjawan 2024 kerajaan menambah lagi insentif untuk kenderaan berkenaan," katanya.

Kerajaan sebelum ini menawarkan insentif dalam bentuk pengecualian cukai langsung dan tidak langsung bagi aktiviti pemasangan atau pengilangan EV, pembuatan komponen serta pembangunan ekosistem seperti fasiliti pengecasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 4:30 PM