Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: Sepasang suami isteri tidak menyangka kepulangan mereka untuk berpantang di kampung bertukar sebaliknya apabila rumah keluarga di Kampung Padang Hangus, di sini, dilanda banjir.

Suami isteri itu antara 72 mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Nanas, di sini, sejak kelmarin.

Aswari Sabry, 36, berkata, dia membawa isterinya, Nurul Nadiah Abu Fatah, 28, pulang ke kampung selepas melahirkan anak kedua mereka di Hospital Seremban, Negeri Sembilan, 26 hari yang lalu.

"Sebenarnya saya bekerja di Negeri Sembilan dan isteri berhajat mahu berpantang anak kedua kami ini, Muhammad Aaron Maleeq di Terengganu.

"Saya tidak sangka rumah di landa banjir dan isteri terpaksa berpantang di PPS," katanya yang ditemui di PPS SK Bukit Nanas, di sini, hari ini.

Bagi Nurul Nadiah berkata, ini pengalaman pertama yang tidak dapat dilupakan ditempatkan di PPS kerana sebelum ini hanya melihat mangsa banjir menerusi televisyen.

Menurutnya, dia membuat keputusan pulang ke Terengganu kerana ingin berpantang bersama kakak ipar yang turut melahirkan anak ketiga mereka.

NURUL Nadiah (kiri) dan kakak iparnya, Sharina terpaksa berpantang di PPS SK Bukit Nanas, di sini. FOTO Faizul Azlan Razak
NURUL Nadiah (kiri) dan kakak iparnya, Sharina terpaksa berpantang di PPS SK Bukit Nanas, di sini. FOTO Faizul Azlan Razak

"Kalau ikutkan keselesaan memang tidak sama berada di rumah, namun saya tetap berpantang seperti biasa dengan disediakan makanan orang berpantang oleh pihak berkuasa," katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.

Sementara itu, kakak iparnya, Sharina Sabry, 39, berkata, dia juga berada dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak ketiga, Nuh Nabhan Mohd Hishamudin yang kini berusia 44 hari.

Menurutnya, dia menyedari kediaman ibu bapanya bersama lima keluarga lain dimasuki air kira-kira jam 6 pagi, kelmarin.

"Mereka terpaksa berpindah ke PPS kerana kemudahan tandas tidak dapat digunakan selain air juga semakin cepat masuk ke dalam rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 1:20 PM