Fahmi (tengah) bersama Syed Hussian (dua kanan), Rafiq Razali (dua kiri), Mohd Efendi (kiri) dan Azlan (kanan).
Fahmi (tengah) bersama Syed Hussian (dua kanan), Rafiq Razali (dua kiri), Mohd Efendi (kiri) dan Azlan (kanan).
Fahmi (kanan) ketika pertemuan bersama Syed Hussian (dua kanan) dan Rafiq (tengah).
Fahmi (kanan) ketika pertemuan bersama Syed Hussian (dua kanan) dan Rafiq (tengah).
Ilah Hafiz Aziz


Cyberjaya: Peranan Media Prima Bhd (Media Prima) adalah sangat besar dalam mendidik rakyat supaya lebih berwaspada ketika menyebarkan maklumat dalam era digitalisasi.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Media Prima boleh membantu kerajaan untuk mengubah cara rakyat menerima berita sahih iaitu dengan menyemak fakta terlebih dahulu sebelum ia disebarkan.

"Pengaruh yang ada boleh digunakan Media Prima untuk membantu kementerian mewujudkan satu budaya semak sebelum sebar dan memupuk perpaduan dalam masyarakat ekoran timbulnya fitnah dan maklumat palsu yang boleh dikekang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Media Prima di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di sini, hari ini.

Kunjungan Media Prima diketuai oleh Pengerusi Kumpulannya, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, diiringi Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Mohd Efendi Omar dan Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Azlan Abdul Aziz.

Fahmi meluangkan masa selama hampir sejam mendengar dan berbincang beberapa perkara, termasuk mengenai pengukuhan agensi media dalam memastikan perpaduan rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, beliau menghargai pertemuan dengan wakil Media Prima dan mengharapkan satu hubungan yang lebih erat terjalin pada masa akan datang.

Katanya, beliau dan kementerian juga akan melakukan pertemuan kunjungan hormat ke Media Prima, minggu depan.

"Dalam pertemuan yang akan datang ini, adalah untuk saya memahami realiti penerbitan berita dan merancang lagi apa-apa perkara yang akan diuruskan bersama demi perpaduan rakyat.

"Ia juga bakal menjadi satu pertemuan dan titik temu terbaik demi masa depan negara," katanya.

Sementara itu, Syed Hussian, berkata pertemuan itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama sedia ada dengan kementerian terbabit.

"Hasil pertemuan ini, kita menyambut baik saranan Menteri supaya Media Prima berperanan aktif sebagai antara medium media dengan rakyat dalam memupuk budaya semak dan sebar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 8:19 PM