GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 412 suspek kegiatan judi bola sepak Piala Dunia Qatar ditahan menerusi 348 serbuan Op Soga IX di seluruh negara sejak 19 November sehingga semalam.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saadudin berkata, nilai had kredit dalam perisian serta wang taruhan tunai berjumlah lebih RM11 juta dirampas sepanjang tempoh berkenaan.

"Sepanjang tempoh 19 November hingga 8 Disember, PDRM telah meningkatkan kadar serbuan dan tangkapan di mana sebanyak 348 kertas siasatan dibuka.

"Semua tangkapan merupakan bookie atau 'punter' dan telah direman untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan terbanyak membabitkan serbuan di negeri Selangor seramai 135 suspek, diikuti Johor (51), Kuala Lumpur (43), dan Sarawak (34).

Katanya, daripada kesemua jumlah tangkapan terbabit, sebanyak 52 kes telah dituduh dan tujuh daripadanya telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah manakala 289 kertas siasatan masih dalam tindakan.

"Pihaknya turut merampas pelbagai peralatan termasuk kredit di dalam perisian bernilai RM10 juta, wang tunai RM417,613; HK$382,295 dan S$500.

"Polis turut merampas 20 komputer, komputer riba (11), tablet (dua), telefon bimbit (496), router (11), kad sim (207), dan 103 helai catitan disyaki pertaruhan.

"Siasatan dijalankan di bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 6:43 PM