KERETA dipandu suspek penuh dengan bungkusan daun ketum. FOTO ihsan polis
KERETA dipandu suspek penuh dengan bungkusan daun ketum. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Bentong: Kegiatan seorang lelaki menjual daun ketum terbongkar selepas ditahan bersama 243 kilogram daun berkenaan di Kilometer 63 Lebuhraya Karak menghala ke Kuala Lumpur, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) menahan Proton Perdana semasa melakukan rondaan di lokasi berkenaan kira-kira jam 3 pagi semalam.

"Hasil pemeriksaan dilakukan di dalam kereta dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun itu menemui 243 bungkusan plastik dipercayai mengandungi daun ketum seberat 243 kilogram.

"Kami merampas daun ketum berkenaan yang dianggarkan bernilai RM5,751, sebuah Proton Perdana serta kunci dalam tangkapan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, siasatan awal mendapati daun ketum itu dibeli oleh suspek di Pendang, Kedah untuk dijual kepada pembeli di Temerloh, Pahang.

"Difahamkan suspek membeli satu bungkusan seberat satu kilogram daun ketum pada harga RM10 dan dijual semula kepada pelanggan pada harga RM17.

"Siasatan awal juga mendapati suspek pernah beberapa kali melakukan penghantaran ke kawasan Pantai Timur sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif.

"Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 2 Disember nanti untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 3:08 PM