GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Kerajaan dicadang menggunakan elektronik baucar atau e-Baucar di bawah aplikasi MySejahtera sebagai langkah menangani isu kos sara hidup dan subsidi bersasar yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, semalam.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, perkhidmatan itu mampu memberi manfaat besar kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 khususnya.

"Menerusi apa yang dibentangkan Perdana Menteri, saya mencadangkan, sebagai contoh kita boleh menggunakan e-baucar di bawah aplikasi MySejahtera.

"Golongan B40 boleh menggunakannya untuk menebus makanan dan perkhidmatan daripada perniagaan atau agensi tertentu. Sudah tak perlukan tunai lagi," katanya.

Beliau berkata, peniaga atau penyelia perkhidmatan yang memberi barangan apabila sudah direkod, boleh membuat tuntutan semula, tebus balik atau mendapatkan rebat daripada kerajaan melalui beberapa mekanisme seperti menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Menerusi sistem ini, tidak berlaku penggunaan tunai secara fizikal, tetapi pemindahan barangan atau perkhidmatan antara rakyat dan industri. Dalam masa sama, kerajaan tak perlu menambah hutang dengan membayar faedah atas hutang itu kerana melalui sistem kontra," katanya.

Menurutnya, jika kaedah itu dilaksanakan ia tidak membebankan kerajaan daripada segi mendapatkan wang tunai tambahan selain mampu mengelakkan ketirisan berlaku.

"Oleh itu, saya melihat dengan adanya teknologi, aplikasi, pangkalan data dan sistem muqassah ini boleh dilaksanakan tanpa membebankan kerajaan.

"Selain ia boleh membantu rakyat, ia juga boleh membantu kerajaan dalam mengelakkan ketirisan. Sebagai contoh, macam isu minyak masak peket, katakanlah yang layak menggunakan aplikasi itu dibolehkan membeli 10 peket setiap bulan atau maksimum dua kilogram (kg).

"Apabila pengguna ke kedai, kedai boleh buat imbasan dan terus direkodkan. Apabila agensi mahu membuat audit, mereka pergi jalankan pemeriksaan di kedai itu. Didapati ada 1,000 stok dan di bawah e-baucar sudah digunakan 400 paket dan baki 600 paket. Mereka boleh semak, jadi, sukar untuk kedai itu menjual semula kepada orang lain atau seludup, sebab sudah ada rekod.

"Sekarang ini, kalau jual secara fizikal kita tak tahu minyak masak itu ke mana. Orang nak beli sentiasa habis," katanya.

Menurutnya, kaedah itu juga membolehkan kerajaan membuat pemantauan yang lebih ketat membabitkan barangan subsidi.

"Lagi satu, kerajaan boleh pantau daripada segi peredaran dan pergerakan barang-barang ini kerana semuanya melalui aplikasi. Kita boleh tahu di mana yang kurang, maknanya, kalau tahu ramai rakyat beli minyak masak atau menggunakan minyak di satu-satu lokaliti, kita boleh tahu situasi ekonomi semasa," katanya.

End

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 3:07 PM