Kuantan, Pahang.
Kuantan, Pahang.
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuantan: Hasrat Barisan Nasional (BN) untuk mendapat lebih besar dengan sekurang-kurangnya 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak kesampaian.

Parti yang mentadbir kerajaan negeri sebelum ini hanya menang di 16 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan, manakala Perikatan Nasional (PN) mendahului 17 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) hanya lapan kerusi.

Keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri masih gagal dibentuk kerana tiada gabungan yang menang sekurang-kurangnya 21 kerusi bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Walaupun Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menang selepas meraih 10,092 undi untuk menewaskan dua lagi pencabarnya namun laluan sukar menantinya jika mahu sekali lagi mengetuai barisan exco Pahang.

Setakat ini, masih belum ada sebarang pengumuman rasmi yang dibuat BN dan PN untuk menjalinkan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri.

Namun, tumpuan kini terarah kepada parti yang bakal mengetuai gabungan sama ada dari BN atau PN.

Datuk Nazri Ngah yang juga bekas Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna mewakili BN kalah mengejut di Pulau Tawar dalam persaingan lima penjuru selepas kerusi itu dirampas Yohanis Ahmad (PN) yang meraih 12,986 undi dengan majoriti 3,487 undi.

Dua lagi kerusi Dun di Jerantut masing-masing Tahan dan Damak juga menjadi milik PN.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang bertanding di Cheka dan disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar dari PN menang dengan majoriti 1,223 menewaskan tiga lagi pesaing termasuk pesaing terdekat Ho Fong Mee (BN) yang sekadar memperoleh 4,411 undi.

Bagi kerusi Beserah, PN yang diwakili Andasura Rabu sekali lagi diberi mandat dengan majoriti 11,521 undi yang lebih besar berbanding pada 2018.

Kerusi Sungai Lembing yang diwakili BN sebelum ini berjaya dirampas Mohamad Ayub Asri (PN) selepas menewaskan calon baru Umar Arbain Dollah dengan majoriti 1,054 undi.

Mohammad Nizar Mohamad Najib yang menjadi pertaruhan BN di Peramu Jaya menang selesa dengan majoriti 7,823 undi jauh meninggalkan pesaing terdekat Abu Talib Muhammad yang sekadar menerima 11,514 undi.

Seperti sebelum ini, PH terus mendominasi kerusi di kawasan majoriti pengundi Cina dan bandar selepas menang di lapan kawasan antaranya Tanah Rata, Tras, Teruntum, Triang, Mentakab, Semambu, Bilut dan Ketari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 2:19 PM