Kejadian kemalangan  di Kilometer 381.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS arah selatan tengah malam tadi. FOTO Ihsan JBPM
Kejadian kemalangan di Kilometer 381.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS arah selatan tengah malam tadi. FOTO Ihsan JBPM
BERNAMA

Ipoh: Lelaki maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk tiga treler di Kilometer (KM) 382.3 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Selatan, berhampiran Slim River, awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 1 pagi tadi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River dikerahkan ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan tiga treler muatan besi, sebuah Nissan X-trail dan Proton Iris. Seorang lelaki berumur 44 tahun telah tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang turut dikejarkan ke tempat kejadian.

"Mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan peralatan khas dan penggunaan dua kren. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mayat dibawa ke hospital berhampiran untuk bedah siasat.

Menurut Twitter PLUS, kemalangan itu menyebabkan kesesakan sejauh empat kilometer berikutan kesemua lorong terhalang dan kerja-kerja pengalihan kenderaan terbabit kemalangan sedang dilakukan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, siasatan mendapati kemalangan membabitkan empat treler, dua kereta dan sebuah ambulans apabila pemandu treler yang dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Kuala Lumpur hilang kawalan lalu menyebabkan kemalangan berantai.

Beliau berkata, pemandu treler itu dikenali sebagai Mohd Khairuddin Md Taharim, 44, dan beralamat di Bukit Beruntung, Selangor, maut dalam kemalangan itu.

Mohd Hasni berkata, treler itu melintangi dan menutupi lorong kiri serta bahu jalan, manakala sebuah lagi treler dalam keadaan melintang ke kanan jalan menutupi lorong tengah dan kanan laluan lebuh raya itu.

"Laluan sudah dibuka satu lorong dan satu lagi laluan kontra telah dibuka pada 7.37 pagi dan semua treler yang terbabit kemalangan sudah dialih ke tepi jalan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 10:10 AM