ANGGOTA bomba membantu menyelamatkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba membantu menyelamatkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Pemandu lori dan pembantunya menahan sakit hampir 30 minit selepas terbabit kemalangan di Kilometer 397.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ulu Bernam, dari arah utara hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, pemandu lori, Mohd Danial Feizal, 27, bersama pembantunya, Abd Razali Abd Rahman, 37, dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah treler di laluan kiri menghala ke arah selatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 4.05 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dan BBP Tanjung Malim serta dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Kemalangan mengakibatkan kedua-dua individu tersepit di dalam kenderaan.

"Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh bomba menggunakan peralatan khas," katanya ketika dihubungi, di sini.

Norazam berkata, pemandu lori dan pembantunya masing-masing parah di dada dan kaki.

Katanya, semua mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 10:50 AM