Bung Moktar dan Mazliwati bertembung di Parlimen Kinabatangan.
Bung Moktar dan Mazliwati bertembung di Parlimen Kinabatangan.
BERNAMA

Kinabatangan: Kinabatangan, daerah terletak di timur Sabah merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Dun Kuamut, Dun Lamag dan Dun Sukau, boleh dikatakan kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak parti itu bertapak di daerah berkenaan pada 1990-an.

Kinabatangan adalah antara kerusi Parlimen 'simpanan tetap' kepada BN dengan penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Pengerusi BN negeri, tidak asing di Sabah mengekalkan momentum kepimpinan dan pengaruhnya sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen pada 1999.

Sinonim dengan slogan 'radu tatap radu', Bung Moktar dilihat sukar digugat apabila berjaya bertahan selama lima penggal sebagai Ahli Parlimen, malah menang bergaya pada setiap Pilihan Raya Umum (PRU) untuk mempertahankan kerusinya itu.

'Gergasi politik' Sabah yang terkenal dengan perwatakan tegas, berani dan lantang bersuara itu pernah menang tanpa bertanding kerusi Parlimen Kinabatangan pada PRU-11 pada 2004.

Tetapi, adalah Bung Moktar masih berbisa untuk mempertahan kubu kuatnya pada PRU-15 kali ini dalam pertembungan dengan calon Parti Warisan (Warisan) Mazliwati Abd Malek, calon baharu yang bersemangat untuk membawa perubahan di kawasan itu, termasuk dalam landskap Penganalisis politik Dr Syahruddin Awang Ahmad juga Penyelidik Geo-Politik dan Elektoral Sabah (GeOpeS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, Bung Moktar boleh mempertahankan kerusi Kinabatangan secara 'klasik' iaitu mengekalkan sokongan pengundi dalam kalangan penyokong parti dan mereka yang mengundinya sebelum ini.

Beliau percaya Bung Moktar mampu mempertahan kerusi Parlimen itu pada PRU-15 berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai ahli politik yang pernah memegang jawatan di pelbagai peringkat selain melalui perubahan landskap politik negeri serta negara di bawah beberapa ketua menteri dan perdana menteri.

Bagaimanapun, Syahruddin berkata majoriti undi Bung Moktar mungkin berkurangan atas beberapa faktor seperti isu dalaman Umno dan BN, kesepaduan jentera dalam menggembleng tenaga merayu undi, dan kemunculan Mazliwati selaku calon wanita yang datang daripada keluarga berpengaruh politik.

Menyifatkan pertembungan di kerusi Parlimen Kinabatangan sebagai epik, Syahruddin berkata, ini kerana Mazliwati adalah anak sulung bekas Ahli Dun (Adun) Kuamut Allahyarham Datuk Abd Malek Chua yang memegang jawatan itu selama tiga penggal antara 1976 hingga 1986 dan 1999 hingga 2004.

"Pengalaman dan pengetahuan masyarakat Kuamut khasnya dan Kinabatangan amnya terhadap bapa beliau adalah meluas khususnya dari segi aktiviti politik dan sumbangan sepanjang menjadi Adun," katanya kepada Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 6:45 AM