MAXIMUS Ongkili ketika berkempen di PDM Melangkap, Tandek, Kota Marudu.  FOTO Ihsan Parti Bersatu Sabah (PBS).
MAXIMUS Ongkili ketika berkempen di PDM Melangkap, Tandek, Kota Marudu. FOTO Ihsan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Rafiqah Dahali


Kota Marudu: Calon Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili tetap tenang walaupun pihak lawan melemparkan serangan peribadi terhadapnya, termasuk menggelar beliau sebagai 'orang sakit'.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata, serangan itu tidak langsung menghalangnya untuk berkempen dalam tempoh berbaki lapan hari lagi.

"Saya mungkin berusia 69 tahun tetapi saya masih boleh berlari jika saya diserang anjing," katanya ketika mendekati pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Melangkap,Tandek di sini hari ini.

Maximus juga memberi jaminan kepada penyokongnya bahawa beliau sihat dan masih mampu menjadi wakil rakyat selepas mendapatkan nasihat pakar perubatan.

"Sebelum saya membuat keputusan (untuk bertanding), saya telah membuat pemeriksaan kesihatan, pergi ke Institut Jantung Negara (IJN) dan berbincang dengan pakar.

"Syukur pada Tuhan, mereka memberitahu bahawa saya cukup sihat untuk berkempen (bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15). Jadi saya berada di sini untuk berkhidmat," katanya yang menghidap angin ahmar pada Julai 2020.

Maximus mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhadapan persaingan enam penjuru di Kota Marudu, iaitu calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM); Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda); Parti Warisan Sabah (Warisan); Pejuang dan calon bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 8:37 PM