Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Dua sungai di Kelantan membabitkan daerah Pasir Mas dan Machang menunjukkan paras air melebihi tahap amaran, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Jainal@Zainal Madasin berkata, sungai berkenaan ialah Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang, dan Sungai Golok di Rantau Panjang.

Katanya, menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, kedua-dua sungai itu menunjukkan paras air 16.36 meter (m) di Kampung Temangan, dan 8.51 m di Sungai Golok.

"Selain dua sungai ini, terdapat satu lagi sungai yang menunjukkan catatan melebihi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai dengan bacaan 21.09 m.

"Setakat 8.15 pagi, hari ini, sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu satu di Pasir Mas dan tiga di Gua Musang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

TINJAUAN di udara di Sungai Golok, Rantau Panjang menunjukkan paras air melebihi tahap amaran, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TINJAUAN di udara di Sungai Golok, Rantau Panjang menunjukkan paras air melebihi tahap amaran, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Menurut laman web infobencanajkmv2.jkm.gov, empat PPS yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Tekoh, Dewan Semai Bakti Felda Chiku 7 dan SK Limau Kasturi (1), masing-masing di Gua Musang serta SK Gual To'Deh di Rantau Panjang.

Secara keseluruhan, seramai 24 keluarga berpindah membabitkan 105 mangsa termasuk lima bayi di seluruh Kelantan.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, peningkatan paras air susulan taburan hujan yang bertambah di beberapa kawasan selain aliran air dari hulu menyebabkan beberapa kawasan rendah mula dilanda banjir

"Bagaimanapun, semua kawasan terbabit berada dalam keadaan terkawal serta jalan utama juga masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 9:34 AM