TANGKAP layar rakaman tular berhubung kekecohan di luar perkarangan Dewan DSP Antanom, Tenom. FOTO tular
TANGKAP layar rakaman tular berhubung kekecohan di luar perkarangan Dewan DSP Antanom, Tenom. FOTO tular
Juwan Riduan


Image


Kota Kinabalu: Insiden rusuhan tercetus selepas Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony ditolak untuk bertanding kerusi Parlimen Tenom.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi tadi itu, rusuhan tercetus di luar pekarangan pusat penamaan calon Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, selepas keputusan itu tidak dipersetujui Peter dan penyokongnya.

Difahamkan, pencalonannya untuk bertanding di Parlimen Tenom ditolak atas alasan masih mempunyai kes mahkamah yang belum selesai.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, berdasarkan pengamatan polis, seramai kira-kira 300 penyokong cuba merempuh masuk ke dalam dewan.

Katanya, pihak keselamatan yang terdiri daripada anggota Light Strike Force (LSF) dan Tugas Am serta dibantu anggota Rela dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertindak menghalang penyokong dari memasuki dewan.

"Selepas itu, satu perbincangan diadakan antara peguam Peter, Pegawai SPR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Satu keputusan dapat dicapai dalam memastikan penyokong tidak bertindak liar dan seterusnya mematuhi arahan pasukan keselamatan," katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom, di sini, hari ini.

Idris berkata, pada 12.32 tengah hari, Peter kemudiannya keluar dari dewan dan meminta penyokongnya supaya bersabar dan menerima keputusan SPR.

"Peter juga membuat satu laporan polis selepas tidak puas hati terhadap penolakan pencalonan beliau.

"Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan, bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan," katanya.

Sementara itu, Idris berkata, dalam keputusan yang dikeluarkan pada jam 2.20 petang tadi, SPR menetapkan empat calon yang layak bertanding adalah Noorita Sual (Pakatan Harapan), Ukim Buandi (Warisan), Riduan Rubin (Bebas), Jamawi Jaafar (BN), dan Peggy Chaw Zhi Ting (Bebas).

"Pada jam 2.38 petang, keadaan keselamatan di pusat penamaan calon terkawal dan penyokong terus beredar meninggalkan dewan," katanya.

Terdahulu, tular beberapa video memaparkan kekecohan di luar perkarangan Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, sehingga memaksa pasukan keselamatan yang berkawal melepaskan das pemedih mata untuk menyuraikan keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 6:53 PM