PENYOKONG calon bersesak cuba memasuki Pusat Penamaan Calon PRK Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), hari ini. Foto NSTP
PENYOKONG calon bersesak cuba memasuki Pusat Penamaan Calon PRK Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), hari ini. Foto NSTP
Ifwan Tun Tuah


PERARAKAN ribuan penyokong calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson menyebabkan laluan di hadapan bangunan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sesak teruk apabila mereka berhimpit cuba memasuki kawasan itu.

Kekecohan bermula jam 9 pagi berlaku apabila penyokong yang turut disertai kumpulan tarian singa terhimpit di hujung lorong yang disekat polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila mereka tiada pas SPR tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan.

Keadaan semakin kecoh apabila kumpulan di hadapan ditolak penyokong yang semakin ramai datang dari belakang.

Hanya calon, wakil calon dan penyokong yang mempunyai pas SPR sahaja dibenarkan masuk, menyebabkan suasana menjadi kecoh.

Malah, ada beberapa individu dilihat memanjat tembok dan menjerit supaya masing-masing tidak menolak bagi mengawal keadaan.

Keadaan kembali pulih tidak lama kemudian apabila kumpulan penyokong memahami arahan, seterusnya berpecah ke kawasan sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 9:20 AM