MAHASISWA UMP menerima Peranti Siswa Keluarga Malaysia. FOTO Ihsan UMP.
MAHASISWA UMP menerima Peranti Siswa Keluarga Malaysia. FOTO Ihsan UMP.
Asrol Awang


Kuantan: Seramai 3,472 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima peranti secara berperingkat menerusi Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia iaitu inisiatif kerajaan bagi membantu mahasiswa B40 dalam memastikan proses pengajian para mahasiswa berjalan lancar.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff, berkata, peranti itu diharap memberi manfaatkan sebaik mungkin kepada mahasiswa.

Katanya, kemudahan itu juga akan memberi semangat kepada mahasiswa untuk lebih berjaya dalam bidang pengajian yang diceburi.

"Setakat ini, Peranti Siswa Keluarga Malaysia sudah diagihkan di Selangor, Terengganu, Sabah, Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan.

"Kementerian sememangnya cakna terhadap kebajikan mahasiswa dan pelbagai inisiatif diperkenalkan dari semasa ke semasa.

"Antaranya termasuk pengurangan yuran pengajian sebanyak 20 peratus bagi semester pertama akademik 2021/2022, memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia pada harga serendah RM3.50, dan pemerkasaan inisiatif Food Bank Siswa.

"Terbaru, kita bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menganjurkan Jualan Murah Keluarga Malaysia khusus untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya.

Dr Mohd Zabri berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia dan Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kaunseling Peringkat UMP di UMP Gambang, di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Prof Dato Dr Yuserrie Zainuddin berkata, inisiatif daripada kerajaan semestinya berita gembira dan bermakna kepada penerima.

"Peranti ini akan menjadi milik mahasiswa sepenuhnya untuk digunakan sehingga tamat pengajian dan selepas bergraduasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 5:27 PM