ANWAR pada sidang media ketika menghadiri sesi Pertemuan Bersama Jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
ANWAR pada sidang media ketika menghadiri sesi Pertemuan Bersama Jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: "Saya tak mahu layan (mengenai) hubungan peribadi terutamanya Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) kerana ayah beliau adalah sahabat baik saya serta mentua beliau antara tokoh yang banyak membantu semasa saya dalam Umno," kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, beliau tidak mahu menjadikan persaingan termasuk dengan Ahmad Faizal bagi merebut kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai gelanggang menyerang peribadi calon.

"(Sebaliknya) saya (hendak) bagi tawaran lebih baik termasuk tawaran segi perubahan landskap 'peta' politik negara.

"Saya pilih Tambun untuk lonjak kekuatan (pengaruh) PH di Perak," katanya kepada pemberita sewaktu menghadiri sesi Pertemuan Bersama Jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di Pusat Khidmat DUN Manjoi, Kampung Manjoi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Adun Manjoi yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi.

Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat sinis ketika mengalu-alukan kehadiran Anwar di Tambun pada pada PRU-15 termasuk mempersoalkan loghat percakapan negeri Perak.

Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, butiran lanjut mengenai tempat bertanding calon PKR iaitu Nik Omar Nik Abdul Aziz yang juga anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan bekas Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Zainal Abu Seman akan diumumkan malam esok.

Ia sama ada dua nama berkenaan akan bertanding di peringkat Parlimen atau DUN.

"Kita akan umumkan mengenainya malam esok," katanya.

Semalam, media melaporkan PKR mengumumkan dua nama berkenaan yang disifatkan sebagai 'calon berprofil tinggi' bakal bertanding mewakili PH di Perak, selain daripada empat lagi calon berprofil tinggi yang diumumkan bertanding di negeri lain.

Mengulas lanjut mengenainya, Anwar menafikan strategi meletak dua calon berkenaan yang disifatkan calon 'payung terjun' melambangkan PKR di peringkat Perak ketandusan calon tempatan.

"Kalau ada dua calon dari luar yang diketengahkan daripada keseluruhan 100 calon, takkan itu dinamakan ketandusan? Sebab orang Perak pun ada saja yang bertanding di luar Perak... Bagi saya itu bukan persoalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 2:29 PM