LOKMAN Noor Adam. FOTO arkib
LOKMAN Noor Adam. FOTO arkib
BERNAMA

Putrajaya: Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam kekal dipenjara sebulan selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini berikutan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan hari ini yang menolak rayuan Lokman untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 15 Julai tahun lalu.

Panel tiga hakim itu turut menolak rayuan silang dikemukakan pendakwaan terhadap hukuman penjara sebulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi tersebut.

Pada 15 Julai 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDB.

Saksi itu ialah bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes itu.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 12:37 PM