Mahdzir (tengah) melancaran Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB) di sini hari ini. FOTO Samadi Ahmad
Mahdzir (tengah) melancaran Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB) di sini hari ini. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya melahirkan lebih 64,000 usahawan desa menerusi pelbagai agensi di bawahnya.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi memastikan usahawan desa sentiasa berdaya maju dan kalis kemelesetan ekonomi, pelbagai bantuan seperti geran, pembiayaan, latihan dan pembangunan disediakan kerajaan.

Katanya, bantuan yang disalurkan adalah bagi memastikan usahawan ini dapat meneruskan perniagaan khususnya ketika negara berhadapan pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia.

"Usahawan juga tidak boleh mengharapkan bantuan daripada kerajaan semata-mata dan mereka perlu memajukan perniagaan masing-masing dengan menggunakan pendekatan terkini digitalisasi," katanya sempena Majlis Pelancaran Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB) di sini tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Pengasas Richworks International Sdn Bhd, Datuk Dr Azizan Osman.

Mahdzir berkata, usahawan desa KPLB terbabit dalam pelbagai bidang perniagaan merangkumi

empat sektor utama iaitu pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pelancongan desa.

Menurutnya, bagi memastikan mereka dapat memasarkan produk secara terancang, KPLB memperkenalkan Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta KPLB (KU1J@KPLB) membabitkan kerjasama Rickworks International Sdn Bhd.

Katanya, program berbentuk kejurulatihan ini menyasarkan usahawan desa mencapai sasaran jualan tahunan berjumlah RM1 juta yang pertama.

"Aktiviti ini adalah salah satu daripada beberapa aktiviti sokongan keusahawanan yang dirancang di bawah Program Rural Business Challenge 2.0 (RBC 2.0)," katanya.

Mahdzir berkata, pada peringkat awal seramai 67 orang usahawan desa memohon bagi menyertai program ini dan daripada jumlah itu seramai 52 usahawan desa melepasi saringan awal.

Menurutnya, pada tapisan akhir hanya seramai 25 usahawan dipilih untuk menyertai KU1J@KPLB ini yang akan dibimbing serta menerima tunjuk ajar secara fizikal dan maya selama 12 bulan bagi mencapai jualan tahunan RM1 juta dalam tempoh enam bulan hingga setahun.

Caption.

PUTRAJAYA 22 SEPTEMBER 2022. Mahdzir (tengah) melancarkan Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB) di sini hari semalam.Foto/NSTP Samadi Ahmad.

From: Samadi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 2:32 PM