ADENAN (kiri) memeriksa kenderaan yang melalui Plaza Tol Juru Arah Utara. FOTO ihsan JPJ
ADENAN (kiri) memeriksa kenderaan yang melalui Plaza Tol Juru Arah Utara. FOTO ihsan JPJ
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Sebanyak 30 kenderaan berat yang menggunakan lorong kanan secara berterusan disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam operasi dijalankan di Plaza Tol Juru Arah Utara di sini, hari ini.

Operasi yang bermula jam 10 pagi semalam hingga 1 pagi tadi mengesan kenderaan berat yang menggunakan lorong kanan secara berterusan hingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas.

Pengarah JPJ negeri Adenan Md Isa, berkata susulan itu pihaknya mengeluarkan notis terhadap kesemua kenderaan berat yang didapati melakukan kesalahan berkenaan.

"Mengikut undang-undang, pemandu kenderaan berat tidak boleh secara berterusan menggunakan lorong paling kanan di mana-mana lebuh raya kecuali hanya untuk memotong.

"Namun, kita dapati sudah menjadi kebiasaan bagi segelintir pemandu kenderaan berat yang mereka kekal memandu di lorong kanan melebihi tiga kilometer sebelum memasuki lorong kiri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jelasnya, tindakan pemandu kenderaan berat itu bukan sahaja membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain tetapi turut akan menjejaskan kelancaran aliran trafik.

Mengulas lanjut berhubung operasi yang diadakan Adenan berkata, pihaknya memeriksa sebanyak 336 kenderaan dan daripada jumlah itu sebanyak 112 kenderaan dikenakan tindakan membabitkan pelbagai kesalahan antaranya lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan ubahsuai kenderaan.

Dalam pada itu, katanya, operasi yang dijalankan bersama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (MOTAC) Pulau Pinang serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut mengesan terdapat bas ekspres yang tidak menyediakan pemandu kedua.

"Berdasarkan peraturan, pengusaha bas ekspres perlu menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer untuk menjamin keselamatan penumpang.

"Namun dalam operasi ini didapati banyak alasan diberikan antaranya ada pemandu yang menipu dengan mengatakan dia bertolak dari Ipoh sedangkan bas terbabit memulakan perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke sini.

"Selain itu, ada juga pemandu yang cuba mengelirukan penguat kuasa untuk mengelak diri daripada dikenakan tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 11:30 AM