INTAN menunjukkan gambar sepupunya yang rentung selepas kereta dinaiki bersama rakannya bertembung dengan lori lalu terbakar. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
INTAN menunjukkan gambar sepupunya yang rentung selepas kereta dinaiki bersama rakannya bertembung dengan lori lalu terbakar. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Pasir Puteh: "Saya hilang kata-kata apabila video kenderaan hangus selepas kemalangan yang dikongsi dalam WhatsApp membabitkan sepupu sendiri," kata Nur Intan Liyana Nordin, 38.

Wanita itu ahli keluarga kepada Nurul Emylia Natasha Zulkifli, 20, yang rentung apabila kereta dinaiki terbakar selepas kemalangan dengan lori lima tan di Kilometer (KM) 85 Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, berhampiran Kampung Gong Batu, Setiu, Terengganu semalam.

Menurut Nur Intan Liyana, keluarga hanya mengetahui arwah ke institut memandu di Bachok untuk membuat lesen dan sama sekali tidak menyangka dia mengikuti konvoi bersama rakan ke Terengganu.

"Pada jam 7 malam, seorang daripada rakannya yang mengikuti konvoi itu menelefon saya, memaklumkan yang kereta dinaiki arwah terbabit kemalangan tetapi dia tidak beritahu keadaan arwah ketika itu.

"Dalam masa sama, polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu juga menghubungi ibu bapa arwah, memaklumkan kemalangan itu dan meminta segera ke Hospital Setiu," katanya ketika ditemui di rumah nenek arwah di Kampung Pulau Lima, di sini, hari ini.

Nurul Emylia Natasha rentung selepas kereta Perodua Kelisa dinaiki terbakar selepas kemalangan dengan lori lima tan di Kilometer (KM) 85 Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, berhampiran Kampung Gong Batu, Setiu, Terengganu.

Nur Intan Liyana berkata, keluarga arwah juga tidak mengetahui keadaan anak mereka ketika bergerak ke Setiu pada 9 malam.

"Mereka hanya tahu keadaan arwah apabila tiba di hospital dan sangat terkejut. Ibunya tidak henti menangis dan sukar menerima takdir ini.

"Saya sendiri ketika melihat video kemalangan ngeri itu, langsung tidak terfikir yang mangsanya adalah sepupu sendiri," katanya yang memberitahu arwah seorang yang ceria, namun menjadi pendiam sejak seminggu lalu.

Katanya, jenazah arwah disembahyangkan di Masjid Kampung Pulau Lima dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tebing Tinggi selepas solat Asar hari ini.

Berita berkaitan

  • Kereta terbakar rempuh lori, wanita rentung
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 3:02 PM