NURUL Badrin tekun menyiapkan model peristiwa Balai Polis Bukit Kepong.
NURUL Badrin tekun menyiapkan model peristiwa Balai Polis Bukit Kepong.
Rosman Shamsudin

Slim River: Inisiatif seorang guru membina model tempat kejadian peristiwa Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor yang berlaku pada zaman darurat di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Ke-2 mengimbau nostalgia lama yang sesekali tidak boleh dilupakan terutama dalam kalangan generasi pewaris kemerdekaan.

Dalam kejadian terbabit, balai polis berkenaan diserang segerombolan 180 orang komunis pada 23 Februari 1950 sekitar jam 5 pagi menyaksikan 19 anggota polis dan 40 orang komunis terkorban.

Kekejaman komunis pada anggota dan keluarga polis yang terkorban dalam peristiwa berdarah berkenaan tidak boleh dilupakan begitu sahaja walaupun zaman sudah berlalu dan ini mendorong guru Sekolah Kebangsaan (SK) Slim Village, Nurul Badrin Abd Latib, 41, membina model terbabit.

Nurul Badrin berkata kulitnya bagaikan disiat, darah mula terasa berderau selepas membaca kisah kekejaman komunis dalam peristiwa terbabit.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab beliau sebagai pendidik dan generasi pewaris kemerdekaan memberi kesedaran kepada generasi kini supaya mereka tidak alpa akan pengorbanan para pejuang yang berjuang sehingga titisan nyawa terakhir dalam mempertahankan kedaulatan negara.

"Peristiwa ini bukannya retorik atau sandiwara dunia apatah lagi rekaan manusia, tetapi inilah hakikat yang perlu generasi kini tahu supaya mereka tidak leka ketika menikmati ruang kemerdekaan yang dikecapi sehingga kini.

"Membina model peristiwa kejadian berkenaan nampak mudah namun ia memerlukan penghayatan yang tinggi seolah-olah kita sedang berada di kancah peristiwa terbabit," katanya ketika ditemui, dekat sini.

MURID SK Slim Village tertarik dengan model dan  mendapatkan maklumat kejadian peristiwa Balai Polis Bukit Kepong.
MURID SK Slim Village tertarik dengan model dan mendapatkan maklumat kejadian peristiwa Balai Polis Bukit Kepong.

Model berkenaan dipamerkan di salah satu sudut di pusat sumber sekolah (PSS) dan menjadi tumpuan murid sekolah berkenaan termasuklah tetamu luar bila terpandang model yang mempunyai banyak mesej dan pengajaran sebagai rakyat di bumi bertuah ini.

Beliau yang berasal dari Bagan Datuk, Perak berkata model itu dibina dengan menggunakan bahan bahan terbuang dan benda maujud berpandukan susun atur tempat kejadian bagi memudahkan sesiapa sahaja yang melihat mampu memahami peristiwa terbabit.

Katanya, pejabat ketua polis, balai polis dan kuaters polis dibina dengan menggunakan kotak lalu diwarnakan supaya menarik minat sesiapa sahaja terutama murid sekolah menyelusuri dan menyelami kejadian itu.

"Benda maujud seperti komunis diletakkan di segenap sudut pagar yang juga benda maujud bagi menggambarkan suasana pihak komunis yang menyerang balai polis berkenaan.

"Reka bentuk dan gambaran peristiwa berkenaan diletakkan dan dilekatkan di atas sekeping playwood supaya kukuh dan tidak mudah rosak terutama bila tersentuh atau disentuh oleh orang ramai.

"Bagi mengukuhkan pemahaman model berkenaan, saya turut memaparkan banner di belakang model yang mengandungi pelbagai informasi dan maklumat tentang kejadian terbabit," katanya.

WAJAH dan nama anggota polis yang terkorban dalam peristiwa Bukit Kepong turut dipamerkan.
WAJAH dan nama anggota polis yang terkorban dalam peristiwa Bukit Kepong turut dipamerkan.

Beliau berkata, paparan maklumat berinfomasi mengandungi nama-nama anggota dan ahli keluarga polis yang terkorban dan terselamat di samping gambar anggota yang meninggal dunia serta terselamat dan berbagai lagi.

Katanya, walaupun model ini tidaklah sempurna seperti kejadian atau peristiwa sebenar namun ia cukup memberi gambaran menyeluruh yang boleh memberi impak kepada audien.

"Hati siapa yang tidak tersentuh bila mengenangkan kembali kekejaman komunis ketika cuba menyebarkan fahaman atau idealogi dan menjajah tanah air.

"Kita mahu generasi masa kini dan masa depan belajar daripada kejadian itu dan melihat dari sudut semangat patriotik dan cintakan negara.

"Pengorbanan para pejuang terdahulu yang menyediakan ruang kemerdekaan kepada kita wajar dihargai supaya kita lebih memahami nilai dan erti kemerdekaan sebenar dalam menjalani kehidupan seharian," katanya.

Nurul Badrin berkata, model ini cuma alat perantaraan secara simbolik terutama dalam menyampaikan mesej kepada golongan muda namun yang penting kita mahu golongan sedar dan mengambil iktibat di sebalik peristiwa terbabit.

Katanya, menjadi tanggungjawab kita sesama manusia untuk saling ingat mengingati supaya kita tidak leka atau sambil lewa dalam mengecapi nikmat kemerdekaan.

"Inilah salah satu teknik atau kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh kita jadikan ia sebagai satu eviden bagi menyemaikan semangat patriotik dan cintakan negara.

"Kita sedia maklum, di antara kita mempunyai cara tersendiri untuk meluahkan atau menunjukkan semangat patriotik yang ada dalam diri," katanya.

Jadi tidak hairanlah jika model yang dibina oleh guru yang mempunyai pemikiran kritis dan kreatif itu sentiasa menjadi tumpuan murid sekolah berkenaan untuk mengenali lebih dekat peristiwa yang meruntun jiwa sebagai anak merdeka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 7:00 AM