Tuan Ibrahim (tengah) ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Pasir Puteh. FOTO ihsan pembaca
Tuan Ibrahim (tengah) ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Pasir Puteh. FOTO ihsan pembaca
BERNAMA

Bachok: Pas akan mengekalkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menunjukkan prestasi cemerlang sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hal ini kerana sebahagian besar daripada mereka adalah kekuatan parti itu.

"Mengenai pemilihan calon baharu pula, Pas Pusat akan menerima cadangan yang dikemukakan di peringkat negeri sebelum nama mereka dimuktamadkan.

"Namun, pemilihan calon baharu yang bakal bertanding ini masih terlalu awal untuk diputuskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Pasir Puteh dekat Tok Bali, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, pihaknya ketika ini sedang membuat penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi setiap kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).

"Sekarang ini kita sedang menyusun KPI dari segi kemampuan jentera, kekuatan cawangan dan keahlian supaya persediaan rapi dapat dilakukan ketika berdepan PRU15," katanya.

Pada PRU14 lalu, Pas memenangi 18 kerusi Parlimen dan 90 kerusi Dun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 4:28 PM