LAPORAN Harian Metro
LAPORAN Harian Metro
Izad Thaqif Hassan

Kulim: Seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang guru lelaki yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kulim, kelmarin.

Wanita berusia 41 tahun yang juga bekerja sebagai penolong pegawai sebuah agensi kerajaan itu ditahan di rumahnya di Ayer Itam, Pulau Pinang kira-kira jam 4 pagi hari ini.

Menurut sumber, setakat ini siasatan awal mendapati guru pendidikan moral berusia 54 tahun berkenaan dipercayai terbabit dalam pergaduhan dengan beberapa lelaki di sebuah restoran kerana dia didakwa menyimpan gambar bogel suspek dalam telefon bimbitnya.

"Suspek mendakwa dia ada meminta tolong daripada rakan lelaki untuk memadam gambar tidak senonohnya itu selain turut berpesan supaya memberi amaran kepada mangsa.

"Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui sejauh mana kebenaran serta kata-kata seperti didakwa suspek itu," katanya.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan kematian seorang guru pendidikan moral yang menjadi persoalan sama ada dia menjadi mangsa jenayah atau sebaliknya selepas dibawa tiga lelaki ke hospital jam 9.15 malam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk G Suresh Kumar mengesahkan penahanan suspek wanita berkenaan.

"Ya... ada satu tangkapan membabitkan seorang wanita namun kita masih menjalankan siasatan mengenai kes ini," katanya yang enggan mengulas lanjut berhubung kes terbabit buat masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 6:53 PM