KEMALANGAN maut membabitkan seorang warga emas di Jalan Seremban- Tampin, dekat susur ke Kampung Baru Rahang, di sini, pagi semalam. FOTO ihsan pembaca
KEMALANGAN maut membabitkan seorang warga emas di Jalan Seremban- Tampin, dekat susur ke Kampung Baru Rahang, di sini, pagi semalam. FOTO ihsan pembaca
Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang wanita merayu orang ramai yang menyaksikan atau merakam kejadian kemalangan sehingga menyebabkan bapanya meninggal dunia di Jalan Seremban-Tampin, dekat susur ke Kampung Baru Rahang, di sini, semalam, tampil membantu siasatan.

Nor Azlina Mukhtar, 47, berkata, dia terkilan dengan cara pemergian bapanya, Mukhtar Maarof, 72, dan ingin mengetahui bagaimana kemalangan itu berlaku kira-kira jam 10.15 pagi semalam.

"Sebelum kejadian bapa pergi ke Majlis Bandaraya Seremban (MBS) kerana ada urusan dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Pinggiran Senawang, di sini.

"Daripada rakaman jarak jauh yang saya terima, bapa menunggang di lorong kecemasan menuju ke arah Tampin, namun difahamkan sebuah lori yang membawa muatan batu dari arah sama dikatakan bergesel dengan bapa sebelum dia jatuh ke jalan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Azlina berkata, bagaimanapun rakaman yang diperoleh tidak menunjukkan dengan jelas bagaimana kejadian itu berlaku dan pemandu lori juga menegaskan dia tidak bersalah.

"Saya dimaklumkan ada seorang pengguna jalan raya mengejar lori berkenaan sejauh kira-kira 100 meter sebelum menghentikan pemandu itu dan memaklumkan dia melanggar penunggang motosikal.

"Saya tidak sanggup melihat keadaan mayat bapa kerana kaki kirinya remuk dan hasil bedah siasat juga memaklumkan darah keluar dari telinga dan hidung dipercayai akibat kecederaan pada bahagian kepala," katanya.

Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau tanda untuk pergi sebelum kejadian.

"Sebab itu kami sekeluarga terkilan dan mahu kematiannya dibela. Saya tidak mahu menuding jari kepada pemandu lori itu jika benar dia tidak bersalah, namun biarlah kematiannya disiasat dengan adil.

"Justeru, saya memohon mana-mana kenderaan yang mempunyai rakaman papan pemuka atau pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi saya di talian 0139041698," katanya sebak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 4:04 PM