RAKAMAN tular seorang lelaki ketika membakar kaunter bayaran sebuah kedai makan di Rompin. FOTO tular
RAKAMAN tular seorang lelaki ketika membakar kaunter bayaran sebuah kedai makan di Rompin. FOTO tular
Asrol Awang


Kuantan: Lelaki berusia 35 tahun yang membakar kaunter bayaran kedai makan dan merosakkan sebuah kereta di Rompin pada 14 dan 15 Julai lalu, disahkan menghidap penyakit bipolar dan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, lelaki terbabit ditahan di sebuah rumah di Perumahan Banjir, Simpang Sepayang, Rompin pada jam 5 petang, 15 Julai lalu.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga 20 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat harta benda.

"Hasil ujian saringan air kencing, lelaki terbabit didapati positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azahari berkata, dalam kejadian 15 Julai lalu, lelaki terbabit datang ke sebuah kedai makan di Bukit Serdang dan bertindak membakar kaunter bayaran.

"Sebelum itu, suspek bertindak merosakkan sebuah kereta di Balai Cukai Balak Hutan Jalan Seledang-Berabong, Rompin dengan menggunakan sebilah sabit pada 14 Julai lalu," katanya.

Berdasarkan video yang tular semalam, lelaki terbabit masuk ke kedai makan dan menyimbah petrol di kaunter pembayaran sebelum membakarnya.

Video berdurasi selama dua minit 50 saat itu tidak menyebabkan kecederaan kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 6:19 PM