MOHD Afiq Salim.
MOHD Afiq Salim.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Saya akan gunakan pengalaman sebelum ini untuk bersama-sama persatuan membantu pengguna di negara ini.

"Pelantikan ini adalah satu tanggungjawab besar terutama ketika negara berdepan inflasi, kos sara hidup yang tinggi dan ketidaktentuan ekonomi. InsyaAllah, saya akan teruskan perancangan yang sedia ada sebelum ini," kata Mohd Afiq Salim.

Pengerusi Biro Sosioekonomi dan Usahawan Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) itu dilantik menjadi Presiden baharu persatuan.

Katanya, pelantikannya itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) susulan kematian Allahyarham Che Hassan Che Johan akibat pelbagai komplikasi 5 Mei lalu.

Mohd Afiq berkata, sebagai wadah pengguna, PPMM akan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai badan bukan kerajaan bagi memainkan peranan secara maksimum terutama membabitkan aspek kepenggunaan di dalam negara.

"Saya yakin, PPMM mampu menjadi platform aduan, pemberi cadangan dan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.

"Banyak yang boleh dilakukan untuk memperkasa pengguna terutama dari segi hak dan peranan. Kita mahu wujudkan persekitaran yang positif dan menang-menang demi kebaikan semua," katanya.

Sementara itu, penaung PPMM, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, dengan pelantikan itu, persatuan itu akan menjadi satu lagi pilihan kepada pengguna untuk memberikan maklumat seperti kenaikan harga serta isu domestik lain.

Katanya, beliau yakin Mohd Afiq akan meneruskan perjuangan yang dibawa Che Hassan sebelum ini yang banyak membantu menyelesaikan isu penipuan insurans, keldai akaun dan scammer.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 4:12 PM