CHE Hassan Che Johan FOTO Ihsan PPMM
CHE Hassan Che Johan FOTO Ihsan PPMM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


ADA pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap pengguna, dengan menjual produk cecair pembasmi kuman pelbagai jenama yang dikhuatiri tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Produk meragukan ini dijual secara berleluasa secara dalam talian dan laman sosial Facebook.

Perkara itu didedahkan oleh Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) apabila organisasi terbabit sudah mula menerima aduan tidak rasmi daripada pengguna di Facebook.

Presiden PPMM, Leftenan Kolonel (B) Che Hassan Che Johan berkata aduan terbabit dilaporkan selepas pengguna berkenaan mengalami alahan pada kulit tangan dengan kulit menjadi kering dan mengelupas.

“Kita khuatir jika lambakan produk yang tidak dapat dipastikan kelulusan KKM ini dijual secara berleluasa hingga mendatangkan kesan yang buruk kepada pengguna.

“Produk yang dijual pada harga RM9.30 sebotol boleh didapati dengan mudah di Facebook dan pihak PPMM menasihatkan rakyat untuk peka dalam mengenalpasti produk penjagaan diri seperti cecair pembasmi kuman pada tangan, sama ada produk itu diiktiraf mahupun tidak, bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Che Hassan berkata, pihaknya mengecam tindakan tidak beretika berkenaan dan menegaskan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menjual produk tiruan ketika pengguna memerlukannya.

“Pengguna yang mengalami nasib sama diminta membuat laporan kepada pihak berkaitan seperti KKM untuk memudahkan siasatan,” katanya.

Terdahulu, pelbagai jenis produk pencuci tangan yang muncul dan dijual secara meluas di dalam Facebook dikhuatiri tidak mempunyai status KKM dan menggunakan bahan pembuatan yang meragukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 2:56 PM