KAMARUL Zaman (dua dari kanan) melihat penggunaan dron semasa memantau pelaksanaan Op Lancar di Jalan Tebrau. FOTO Izz Laily Hussein
KAMARUL Zaman (dua dari kanan) melihat penggunaan dron semasa memantau pelaksanaan Op Lancar di Jalan Tebrau. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Sebanyak 11 individu sudah dipanggil polis untuk dirakam keterangan mereka berhubung kes pembunuhan seorang wanita dan bayi lelakinya di Kampung Bakar Batu di sini, 4 Julai lalu.

Mereka yang dipanggil terdiri daripada ahli keluarga kepada mangsa dan juga suspek, selain penduduk setempat lokasi kejadian khususnya mereka yang menjadi saksi kepada kejadian berkenaan.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang juga suami dan bapa kepada mangsa turut memberi kerjasama kepada polis sejak penahanan dibuat terhadapnya kira-kira dua jam selepas kejadian berlaku.

"Berhubung kes berkenaan, kita sudah merakam keterangan 11 individu terdiri daripada ahli keluarga dan juga jiran yang menjadi saksi kejadian.

"Sejak ditahan pada 4 Julai lalu, suspek memberikan kerjasama baik dan tidak berlaku sebarang pergelutan dalam penahanan.

"Bagaimanapun, siasatan berhubung punca dan motif kejadian masih dijalankan memandangkan suspek juga masih dalam tahanan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemantauan penggunaan dron dalam penugasan Op Lancar di Jalan Tebrau di sini, hari ini.

Pada masa sama, Kamarul Zaman berharap orang ramai dapat memberi ruang kepada pihaknya menjalankan siasatan dan tidak mengeluarkan sebarang komen atau spekulasi berhubung kejadian bunuh terbabit.

Pada 4 Julai lalu, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayi lelakinya, berusia dua bulan ditemukan maut di hadapan rumah mereka dengan kesan kelar di bahagian leher.

Kejadian itu dipercayai dilakukan suami dan bapa mangsa sendiri.

Suspek lelaki itu kemudian bertindak melarikan diri dalam keadaan tidak berpakaian dengan menunggang motosikal sebelum ditahan polis kira-kira 2.45 petang di sekitar Permas Jaya.

Beberapa gambar dan video memaparkan tindakan suspek menunggang motosikal dengan berbogel itu turut tular di media sosial.

Sehari kemudian, jenazah kedua-dua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu pada 8.10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 6:29 PM