Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Kami tinggal sehelai sepinggang, semua hangus termasuk persiapan hari raya Aidiladha dan wang RM1,000," kata Mohamad Nazri Othman, 43, mangsa kebakaran di Kampung Lundang, di sini, awal pagi tadi.

Menurutnya, kejadian jam 2.45 pagi itu juga menyebabkan isterinya, Nur Ayuni Saari, 41, melecur di kedua tapak kakinya dan anak keduanya, Nurul Izati, 19, cedera di tangan kanan kerana terpegang bara api.

"Kebakaran berlaku ketika kami sedang tidur. Isteri tersedar apabila terdengar bunyi beberapa letupan kecil dari luar bilik.

"Isteri keluar untuk melihat apa yang terjadi dan terkejut melihat api sedang marak dari bilik tidur anak sulung yang kebetulan kosong. Dia terus menjerit meminta tolong menyebabkan kami semua tersedar.

"Sebaik memastikan semua anak sudah keluar dari rumah, isteri cuba masuk semula ke dalam bilik tidur kami kerana teringatkan duit RM1,000 yang berada dalam beg duit bersama kad pengenalan tapi gagal masuk kerana tikar getah terlalu panas sehingga tapak kakinya melecur.

"Duit itu sepatutnya digunakan untuk membeli kelengkapan tambahan persiapan hari raya Aidiladha," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohamad Nazri yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, cubaannya untuk memadam api menggunakan dua baldi air tidak berjaya kerana api marak dengan cepat.

"Saya berpatah balik namun sempat membawa keluar tong gas kerana bimbang meletup. Mujur dibantu oleh penduduk kampung, kereta Waja saya sempat diselamatkan dengan memecahkan cerminnya namun motosikal Yamaha Nouvo S pula rentung.

"Dugaan ini sangat besar buat kami kerana berlaku di saat menjelang hari raya (Aidiladha) dan buat masa ini kami terpaksa menumpang rumah ibu tidak jauh dari sini sementara mencari rumah sewa lain," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.02 pagi.

Menurutnya, seramai 23 pegawai dan anggota dari BBP Kota Darulnaim serta Kota Bharu bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, api sedang marak.

"Api dapat dikawal pada jam 3.21 pagi dan rumah jenis sementara kekal itu musnah 80 peratus. Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 2:40 PM
NAZRI dan isterinya serta anak ketiganya di hadapan rumah sewa mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Lundang jam 2.45 pagi tadi. FOTO Siti Rohana Idris
NAZRI dan isterinya serta anak ketiganya di hadapan rumah sewa mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Lundang jam 2.45 pagi tadi. FOTO Siti Rohana Idris