DATUK V Sithambaram. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK V Sithambaram. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk V Sithambaram menegaskan, adalah tidak masuk akal untuk membawa masuk peguam asing ke negara ini setiap kali timbul isu perundangan yang baharu dan kompleks.

Sithambaram yang berhujah terhadap permohonan peguam kanan dari United Kingdom (QC), Jonathan Laidlaw untuk mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd berkata, peguam tempatan juga berkelayakan untuk mengendalikan isu berkenaan.

Beliau berkata, hujahan yang menyatakan hanya QC yang layak (untuk menghujahkan isu perundangan itu) adalah kenyataan yang tidak adil kepada peguam tempatan, lebih-lebih lagi isu perundangan dalam kes SRC bukan lagi boleh dikatakan baharu dan kompleks kerana ia sudah ditimbulkan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Malah, katanya, peguam tempatan boleh mengambil nas perundangan dari England dalam hujahan mereka tanpa perlu membawa peguam dari negara itu ke mahkamah negara ini.

Menurutnya, peguam tempatan sudah terbukti dan pernah mengendalikan isu yang dikatakan serius, baharu dan kompleks seperti dihujahkan pemohon.

"Takkan pada masa hadapan kita patut 'lari' ke England dan mendapatkan QC untuk mewakili kes di sini. Kalau begitu, setiap kali ada isu baharu, maka kita kena hentikan prosiding dan memohon hakim untuk bawa peguam dari England.

"Dia (Laidlaw) tidak pernah mengendalikan kes di mahkamah Malaysia. Selepas 60 tahun merdeka, kita patut sudah selesaikan isu ini kerana ia bukan roket sains, ia adalah perkara berhubung tafsiran (undang-undang).

"Ya dia sememangnya bijak tetapi tidak bermakna peguam kita langsung tidak berupaya berhujah dalam rayuan ini.

"Dalam beribu peguam di negara ini, tidak mungkin seorang pun tidak berkelayakan kecuali pemohon (Laidlaw)… Muhammad Shafee sendiri sudah banyak kes yang beliau kendalikan membabitkan isu sebegini," katanya.

Sementara itu, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib berhujah, pemohon tidak perlu menunjukkan bahawa beliau pakar dalam semua bidang, sebaliknya mencukupi dengan sekadar membuktikan dia pakar dalam sesuatu bidang yang mana salah satunya adalah dalam isu menyembunyikan bukti.

Beliau berkata, Laidlaw hanya perlu membuktikan kepakarannya tidak ada pada peguam lain.

Katanya, Muhammad Shafee ada pengetahuan mengenai kes rayuan terbabit tetapi hanya disebabkan beliau mengendalikan kes SRC daripada awal, tidak boleh dikatakan peguam itu memiliki kelayakan khas.

Selepas mendengar hujahan semua pihak termasuk daripada Pejabat Peguam Negara, Majlis Peguam dan Badan Peguam Kuala Lumpur, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan 21 Julai ini bagi keputusan.

Pada 31 Mei lalu, Laidlaw memfailkan permohonan supaya diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya dan Muhammad Shafee mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan berkenaan.

Antara alasan dikemukakan Muhammad Shafee ialah peguam itu mempunyai kelayakan khas, pengalaman dan kepakaran yang tidak boleh didapati dalam kalangan peguambela dan peguamcara di negara ini.

Ia adalah kerana rayuan terakhir kes SRC International membabitkan isu yang serius, kompleks dan novel iaitu cabang undang-undang jenayah dan sivil, amalan dan keterangan, hak perlembagaan, cara pendakwaan dijalankan oleh pihak Pendakwa Raya, penghakiman kes mahkamah jenayah oleh mahkamah perbicaraan dan pentadbiran sistem Keadilan Jenayah.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuannya berhubung pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkannya (Jho Low) menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 5:43 PM