NAJIB pada sidang media sempena Konvensyen BN Sabah bertempat di ITCC. FOTO Rafiqah Dahali
NAJIB pada sidang media sempena Konvensyen BN Sabah bertempat di ITCC. FOTO Rafiqah Dahali
Rafiqah Dahali


Penampang: Barisan Nasional (BN) menafikan terbabit dengan pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) sebagai pertukaran undi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak tahu kenapa Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili membuat tuduhan sedemikian.

"Kita tidak terbabit dalam pemberian kad pengenalan. Apa-apa yang berlaku pada masa lalu kita mahu perbetulkan. Sebab itu kita letakkan pemimpin Parti Bersatu Sabah untuk selesaikan perkara itu semasa zaman saya (menjadi Perdana Menteri).

"Sekarang penekanan kita mahu mengawal sempadan Sabah, memperkukuhkan keselamatan dan bekerja demi pembangunan Sabah. Itulah agenda BN.

"Saya tidak tahu kenapa dia (Maximus) buat begitu (mendakwa BN beri kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin)," katanya pada sidang media sempena Konvensyen BN Sabah 2022 di ITCC, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai program hari ini ,Najib menyifatkan ia permulaan baik bagi membolehkan negeri ini menjadi simpanan tetap BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Kita harap dapat margin yang baik, dan hari ini ia adalah satu permulaan yang baik untuk kempen.

"Tetapi saya meminta mereka berhati-hati, ini bukan segala-galanya. Apa yang lebih kritikal ialah semangat kebersamaan yang harus disemat di peringkat akar umbi, cawangan dan bahagian.

"Hanya dengan itu kita dapat memastikan kemenangan besar untuk BN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 2:23 PM