HAMZAH (tengah) menyaksikan penyerahan kontrak NIISe kepada Iris Corporation Berhad. FOTO Fathil Asri
HAMZAH (tengah) menyaksikan penyerahan kontrak NIISe kepada Iris Corporation Berhad. FOTO Fathil Asri
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin sistem keimigresenan negara dapat diangkat ke tahap lebih tinggi menerusi kontrak Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) membabitkan kos lebih RM1 bilion.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan sudah memberikan satu tanggungjawab yang pihak berkenaan dan kontraktor perlu ambil sebagai amanah.

Pada masa sama, katanya, pihaknya memberikan peringatan kepada kontraktor dan pihak terbabit kerana KDN sentiasa memantau rapi perkembangan serta status projek yang dilaksanakan di seluruh negara.

Untuk projek NIISe, katanya, mengikut tempoh kontrak ia akan beroperasi sepenuhnya pada 2024 yang membabitkan lebih 12 kontraktor.

"Kontrak Projek NIISe di antara Kerajaan dengan syarikat IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd sudah dimuktamadkan Mei lalu.

"NIISe dilaksanakan bagi menggantikan sistem myIMMs di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang sudah beroperasi lebih 20 tahun lalu.

"Bagi memenuhi keperluan keimigresenan semasa yang bertambah kompleks, kerajaan melalui KDN sentiasa komited menambah baik sistem keimigresenan negara sedia ada supaya menjadi lebih komprehensif, berteknologi tinggi, bersepadu dan mesra pelanggan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penyerahan Kontrak Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Bagi tujuan itu, katanya, untuk 2021 dan 2022, peruntukan sejumlah RM889 juta diluluskan kerajaan bagi melaksanakan projek fizikal dan bukan fizikal yang bertujuan untuk memodenkan sistem keimigresenan negara.

"Projek-projek ini selari perkembangan teknologi terkini seperti Internet of Things, Big Data atau Artificial Intelligent, supaya sistem keimigresenan negara kekal relevan terutamanya dari segi penyampaian perkhidmatan kepada pengguna dan bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara kekal terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 3:22 PM