Redzuan Muharam


Nilai: Sekali imbas, wajah Muhammad Farid Tapa mirip Datuk AC Mizal malah gaya percakapannya juga ada persamaan dengan pelakon serta pengacara popular itu.

Hakikatnya, Muhammad Farid tiada pertalian darah dengan AC Mizal malah sekadar pengusaha kedai makan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini.

Bagaimanapun, persamaan itu menjadikan Muhammad Farid dikenali ramai sekali gus mengumpul pengikut di TikTok @faridalong sejak aktif di platform berkenaan pada awal 2020.

Bercerita lanjut, Muhammad Farid berkata, sebelum aktif di TikTok lagi, sudah ada individu yang mengatakan wajahnya mirip AC Mizal.

"Saya tidak endahkan sangat pada awalnya namun lama kelamaan, ramai cakap perkara sama (wajah mirip AC Mizal) lebih-lebih lagi selepas saya aktif di TikTok malah turut 'tag' Datuk AC Mizal di ruangan komen.

"Mulanya malu juga apabila disamakan dengan Datuk AC Mizal kerana dia artis terkenal sedangkan saya orang biasa saja.

"Mana tidaknya, ada pengikut yang sampai ajak bergambar sama apabila terserempak di luar, belanja makan dan tak kurang juga menyangka saya adik Datuk AC Mizal," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhammad Farid, setakat ini, belum ada kecaman diterima daripada netizen atau tuduhan mengatakan dirinya meniru imej dan perwatakan AC Mizal.

Sebaliknya, Muhammad Farid tidak menyangka apabila pengikutnya semakin bertambah.

"Kebanyakan pengikut saya terdiri daripada golongan berumur 40 tahun ke atas kerana di TikTok saya suka berborak santai dengan dialek Negeri Sembilan mengenai pelbagai isu .

"Bagaimanapun, pernah satu masa, saya terkejut kerana ada juga kanak-kanak menyapa ketika di luar kerana pernah melihat saya di TikTok sedangkan ibu bapa mereka tidak mengenali saya langsung," katanya.

Ditanya pandangannya terhadap AC Mizal, Muhammad Farid mengakui meminati ketua kumpulan 4U2C yang pernah membintangi filem dan drama bersiri Gerak Khas itu.

"Saya memang minat dengan Datuk AC Mizal dan mengagumi bakat lakonan serta pengacaraannya.

"Kami pernah berjumpa malah saya bersyukur kerana berpeluang berlakon dalam filem sama yang bertajuk Maharaja Bomoh dan menjalani penggambaran bersama tahun lalu.

"Beliau seorang yang merendah diri juga ramah dan pengalaman lucu adalah apabila isterinya Datin Emylia Rosnaida turut mengatakan wajah kami berdua sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 4:48 PM