Hishammuddin   bersama Dr Ashton (kiri) melawat kapal perang  USS Theodore Roosevelt.
Hishammuddin bersama Dr Ashton (kiri) melawat kapal perang USS Theodore Roosevelt.
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Kerjasama erat antara Malaysia dan dua kuasa besar dunia iaitu China dan Amerika Syarikat (AS) memberi faedah bersama dalam memastikan keamanan dan kestabilan serantau.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hubungan dan pertemuan beliau dengan dua pemimpin negara itu tidak terhenti pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) kelmarin, sebaliknya dilanjutkan lagi dengan kunjungan hormat di pejabatnya, semalam.

Beliau berkata, Menteri Pertahanan China, Jeneral Chang Wanquan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Kementerian Pertahanan (Mindef), jam 8 pagi semalam.

“Dalam pertemuan itu, kami berbincang mengenai hubungan strategik antara kedua-dua negara selain bertukar pendapat berkaitan perubahan landskap keselamatan global terkini.

“Kami turut membincangkan operasi ketenteraan bersama. Kami sudah menjalankan latihan ketenteraan pertama ‘Keamanan dan Persahabatan’ pada September lalu dengan jayanya dan akan meneruskan lagi di masa depan,” katanya dalam kenyataannya semalam.

Menurutnya, kedua-dua negara percaya latihan ketenteraan seperti itu perlu diteruskan lagi di masa depan untuk membina kepercayaan lebih mendalam di antara pasukan pertahanan.

Sementara itu, selepas menerima kunjungan hormat daripada pemimpin China, Hishammuddin bersama dengan Setiausaha Pertahanan AS, Dr Ashton Carter melawat kapal perang negara itu, USS Theodore Roosevelt yang berada di perairan antarabangsa berdekatan Sabah sebelum melawat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Sabah.

Dalam lawatan itu, katanya, topik latihan ketenteraan bersama masih menjadi isu utama di mana mereka berbincang mengenai latihan ketenteraan ‘keris strike’, ‘Carat’, ‘Gpoi Capstone’, ‘Dcat’ dan ‘Cope Taufan’ yang sudah dijalankan dengan jayanya.

“Perbincangan turut berkisar latihan ‘Malus Amphex’ yang akan berlangsung pada hujung bulan ini di Sabah.

“Perkembangan positif hasil perkongsian ketenteraan ini mengukuhkan pertahanan negara. Kami komited untuk meneruskan komitmen mempromosi dan menyokong pertukaran idea dalam isu pertahanan di masa depan,” katanya.

Hishammuddin berkata, dia turut menjemput kedua-dua pemimpin itu ke Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Persidangan 2016 (DSA 2016) yang akan berlangsung pada 18 hingga 21 April tahun depan di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 12:23 PM