PASUKAN SFC melakukan bedah siasat ke atas seekor buaya. FOTO Melvin Joni
PASUKAN SFC melakukan bedah siasat ke atas seekor buaya. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: Seekor buaya yang ditangkap di Sungai Nyabut, Kampung Trombol Telaga Air didapati bukan pemangsa bagi kes kanak-kanak berusia tujuh tahun yang disambar reptilia berkenaan pada Sabtu lalu.

Ketua Zon 1 Bomba Kuching, Yusri Basri berkata, bedah siasat awal yang dilakukan Jabatan Hutan Sarawak (SFC) terhadap reptilia itu menunjukkan tiada sebarang petunjuk atau penemuan rangka manusia di dalam perut buaya itu.

"Apa yang ditemui di dalam perut buaya itu adalah sampah sarap seperti beg plastik. Tiada organ dan tulang kanak-kanak dijumpai," katanya selepas operasi bedah siasat buaya di jambatan Sungai Nyabut, hari ini.

Buaya berukuran 2.4 meter seberat 800 kilogram itu ditangkap selepas memakan umpan jerat yang dipasang pasukan pemburu buaya Samarahan, sebelum dinaikkan kira-kira jam 7 malam.

Yusri berkata, operasi pencarian mangsa pada hari keenam diteruskan bagi mengesan dan mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang petunjuk baru.

Menurutnya, seramai 11 anggota bomba bertugas melaksanakan pencarian lanjutan bersama dua bot dengan disertai beberapa agensi berkaitan.

Beliau berkata, operasi turut dibantu pihak berkemahiran khususnya membabitkan tangkapan buaya bagi memastikan pengoperasian di sepanjang sungai berjalan lancar.

"Sekiranya ada keperluan dan kita menjumpai petanda baru, operasi akan dilanjutkan sehingga hari ketujuh," katanya.

Dalam kejadian 9 pagi Sabtu lalu, mangsa disambar buaya semasa mengambil air di Sungai Nyabut bersama nenek dan kakaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 1:56 PM