DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada perbicaraan tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta FOTO Aizuddin Saad
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada perbicaraan tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta FOTO Aizuddin Saad
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, baki wang dalam akaun bank kepunyaannya adalah lebih mencukupi untuk membayar kad kredit peribadinya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, bagaimanapun bekas setiausaha eksekutifnya Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly melakukan kecuaian dengan menggunakan cek Yayasan Akalbudi yang diasaskan beliau untuk membayar kad kredit berkenaan.

"Mazlina sendiri mengakui melakukan kecuaian ketika membuat pembayaran itu," kata Ahmad Zahid ketika menjawab soalan peguamnya, Hamidi Mohd Noh berhubung 12 pertuduhan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dirujuk dengan baki wang dalam akaun Maybank miliknya antara 2014 dan 2015 yang menunjukkan baki minimum sebanyak RM100,000 dan baki maksimum berjumlah RM600,000.

Sementara itu, melalui penyata kad kredit menunjukkan bil kad kreditnya pula dalam tempoh sama adalah sebanyak RM600 (minimum) dan bil maksimum berjumlah RM215,000.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadi dan polisi insurans serta lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, Mazlina yang diamanahkan menjaga akaun yayasan dan akaun peribadinya, melakukan kecuaian ketika membuat transaksi pembayaran kad kredit miliknya.

Katanya, kecuaian yang dilakukan Mazlina itu membabitkan transaksi yang menunjukkan terdapat lebihan dan kekurangan pembayaran kad kredit yang dibuat menggunakan duit yayasan.

Katanya, Mazlina sendiri melalui keterangan di mahkamah mengakui cuai ketika mengendalikan perbelanjaan kad kredit berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 1:21 PM