GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

PENIAGA didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas lima pertuduhan menipu seorang wanita warga Iraq berhubung jual beli pelitup muka berjumlah RM300,000.

Lee Wai Kuen, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, dia didakwa menipu Asal Ameen Taha dengan cara memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang RM300,000 bagi pembelian pelitup muka.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lobi The Pearl Condominium, Kuala Lumpur dan Unit A-18-01 Bintang Goldhill, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur antara 2.53 petang dan 11.51 malam pada 14 Mac lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan

Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi menawarkan jaminan berjumlah RM400,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam K A Ramu yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dilakukan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 23 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 6:38 PM