Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kehilangan bapa tercinta pada hari terakhir peperiksaan tidak mematahkan semangat graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, Na Yong Sik untuk menempa kejayaan apabila dinobat sebagai penerima Hadiah Pingat Emas Canselor Upacara Konvokesyen ke-59 Universiti Sains Malaysia (USM).

Yong Sik, 24, berkata dia mendapat khabar bapanya meninggal dunia akibat Covid-19 seawal jam 5 pagi pada 12 Julai lalu namun tekad menduduki peperiksaan yang bermula jam 3 petang sebelum bergegas pulang ke rumah keluarganya di Klang, Selangor usai menjawab soalan.

"Malam sebelum kejadian saya sudah tahu bapa berada pada tahap tiga sebelum keadaannya berubah kritikal dalam tempoh beberapa jam sahaja namun, saya kuatkan semangat untuk terus berjuang dan saya dapat 'A' untuk kertas peperiksaan itu dan percaya kejayaan ini turut dimahukan bapa.

"Ketika itu ada pensyarah menawarkan bantuan untuk menghantar saya pulang tetapi saya tidak mahu menyusahkan sesiapa dan memandu sendiri dari Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Kini Yong Sik yang juga anak kelahiran Johor itu mendapat pekerjaan sebagai jurutera proses di sebuah syarikat multinasional di Singapura sejak dua bulan lalu.

Anak ketiga daripada empat beradik itu menyifatkan ibu bapanya adalah pendorong utama kejayaannya dan kedua-duanya memberi kebebasan sepenuhnya kepada anak-anak untuk menentukan masa depan masing-masing.

"Kali terakhir saya berbual dengan bapa melalui panggilan telefon seminggu sebelum dia jatuh sakit dan meninggal dunia. Bapa seorang yang ringkas namun sangat memahami dan mengambil berat terhadap kami sekeluarga.

Yong Sik menunjukkan pingat yang diterima mereka ketika sidang media khas sempena Upacara Konvokesyen Ke-59 USM di Bangunan Canselori USM. FOTO DANIAL SAAD
Yong Sik menunjukkan pingat yang diterima mereka ketika sidang media khas sempena Upacara Konvokesyen Ke-59 USM di Bangunan Canselori USM. FOTO DANIAL SAAD

"Sebagai ahli perniagaan yang selalu sibuk, dia tidak pernah memberi tekanan kepada anak-anak sama ada dalam soal akademik mahupun kerjaya asalkan kami gembira dengan pilihan masing-masing," katanya yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.90 secara keseluruhan.

Berbeza pula bagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-Raja Malaysia, Syazwan Izman Shairunizam, 24, yang berdepan ujian apabila rumah tangga ibu bapa retak ketika tamat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) sehingga membuatkan hubungannya dengan ibu tercinta renggang seketika.

"Saya mengaku apabila ibu berpisah dengan bapa dan berkahwin lain saya menjauhkan diri dari ibu selama hampir setahun sehinggalah saya masuk ke Program Asasi di sebuah universiti awam (UA) kerana tidak dapat menerima kenyataan.

"Tetapi sekarang kedua ibu bapa sudah berkahwin lain jadi saya kini ada dua orang ibu serta dua bapa yang selalu memberi dorongan kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan fokus mencapai matlamat yang diingini," katanya.

Bekas penuntut Sekolah Menengah Teknik Alor Setar, Kedah yang meraih PNGK 3.83 itu turut bersyukur kerana mendapat peluang pekerjaan sebagai jurutera perisian di sebuah syarikat komunikasi multinasional di Bayan Lepas di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata upacara konvokesyen kali ini membabitkan 11 sidang itu bermula esok hingga 31 Mei ini bertempat di Dewan Tuanku Syed Putra, USM di sini.

"Seramai 6,706 graduan menerima ijazah masing-masing termasuk Ijazah Kehormat (2), Profesor Emeritus serta Emerita (5), Ijazah Tinggi (2,231), Ijazah Sarjana Muda (4,475) dan Diploma Kejururawatan (50)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 4:33 PM