Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang lelaki dijatuhi hukuman tiga tahun penjara dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak kedai serbaneka, tahun lalu.

Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan Muhammad Osman Junos dan mensabitkannya seperti pertuduhan.

Beliau menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 19 Ogos 2021.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merompak Nuratiqah Syazani Yahya, 22, menyebabkannya kerugian RM245 dan kesalahan itu dilakukan di 7 Eleven Taman Cheng Baru, dalam daerah Melaka Tengah, pada 26 Julai 2021, 2.58 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh merampas wang RM245 dari peti wang di premis kedai serbaneka itu sebelum melarikan diri dengan motosikal.

Ketika cuba melarikan diri, tertuduh diekori mangsa yang bertindak menolaknya dan merampas papan nombor pendaftaran motosikal bahagian belakang.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak berhubung kejadian itu dan tertuduh berjaya ditahan polis di tepi Jalan Felda Tersang 3, Raub Pahang pada 18 Ogos 2021, 8.40 malam.

Hasil siasatan tertuduh menunjukkan kepada polis motosikal digunakan dalam rompakan itu selain dia turut dicam mangsa menerusi kawad cam.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan bermula dari tarikh ditangkap kerana mempunyai bapa yang sakit.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman setimpal dikenakan mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukan tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 6:14 PM