GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Sebuah kilang kelapa sawit didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati melakukan kesalahan dan melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan Azuri Azizah Saedon berkata, kilang terbabit yang beroperasi di PT 3225 Serting Ulu, Jempol dekat sini, didapati melanggar syarat lesen iaitu melupuskan efluen kelapa sawit di kawasan yang bukan ditetapkan.

Katanya, Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhi hukuman itu selepas kilang berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah.

"Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(1) AKAS 1974 kerana melanggar syarat lesen iaitu melupuskan efluen kelapa sawit ke atas tanah di kawasan yang bukan ditetapkan sepertimana dalam pelan bertajuk 'Land Application Area Layout', pelan bernombor MMEW-04," katanya.

Beliau berkata, kilang terbabit dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Katanya, JAS negeri akan sentiasa mengambil tindakan dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 1:56 PM