GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: AirAsia mengambil maklum dan memohon maaf kepada tetamu yang mengalami kesulitan akibat penjadualan semula beberapa penerbangan susulan peningkatan permintaan mendadak pada musim perayaan kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, beberapa faktor dan insiden yang tidak dapat dielakkan mengakibatkan kelewatan di luar jangkaan serta kawalan syarikat penerbangan itu.

"Kami berusaha sedaya-upaya memastikan kesan gangguan paling minimum untuk semua tetamu dan memastikan semua dapat tiba di destinasi masing-masing dengan cepat termasuk melancarkan penerbangan khas untuk membawa penumpang yang terkandas," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara faktor yang menyumbang kepada penjadualan semula penerbangan semasa musim perayaan ini ialah permintaan untuk penerbangan domestik naik dengan sangat mendadak dan pembukaan sempadan negara sejak 1 April lalu.

"AirAsia Malaysia juga kini beroperasi hanya dengan 40 pesawat berbanding hampir 100 pesawat semasa prapandemik. Ini disebabkan giliran menunggu yang panjang untuk kemudahan penyelenggaraan pesawat di Malaysia dan serantau sebelum sesebuah pesawat yang sudah lama tidak beroperasi dapat disahkan selamat untuk terbang semula seperti mana arahan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia," katanya.

Riad berkata, selain kerosakan dan masalah teknikal lazim yang ditemui semasa proses pemeriksaan rutin, berlaku insiden luar jangka seperti pintasan burung, kerosakan akibat objek asing serta panahan petir sehingga menyebabkan tiga hingga lima pesawat terpaksa dikeluarkan daripada jadual sepanjang tempoh perayaan ini.

Beliau berkata, keutamaan AirAsia buat masa ini ialah meminimumkan pembatalan penerbangan dan memastikan semua tetamu tiba di destinasi masing-masing dengan selamat.

Katanya, setiap perubahan pada jadual penerbangan akan dimaklumkan kepada tetamu melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas ke nombor telefon yang didaftarkan semasa tempahan tiket.

Sekiranya memerlukan maklumat atau bantuan lanjut, tetamu boleh menghubungi talian sembang AVA melalui AirAsia Super App atau laman sesawang airasia.com atau ke kaunter perkhidmatan AirAsia di lapangan terbang terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 7:34 PM