ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat lelaki yang ditemui di bawah runtuhan rumah. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat lelaki yang ditemui di bawah runtuhan rumah. FOTO ihsan bomba
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seorang lelaki yang dipercayai meninggal dunia sejak empat hari lalu ditemukan di bawah runtuhan rumah usang yang dihempap pokok tumbang di Jalan Ilmu, Serian, hari ini.

Mayat Rone Medin, 54, ditemui oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang melakukan pencarian di bawah timbunan runtuhan serta dahan pokok kira-kira 12 tengah hari.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis yang meminta bantuan khidmat khas bagi mencari mangsa pada jam 11.52 pagi tadi.

Menurutnya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan yang memaklumkan mangsa dipercayai tertimbus di bawah runtuhan rumah itu.

"Kejadian itu berlaku di sebuah rumah usang iaitu bekas kuarters dan polis meminta bantuan bomba untuk mencari mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.

"Saiz pokok ara yang menghempap rumah itu dan meliputi seluruh kawasan yang runtuh menyukarkan operasi dan pihak kami terpaksa meminta bantuan dua unit jentera berat dari pihak syarikat CMS yang turut berada di lokasi bagi membantu mengalihkan pokok," katanya.

Menurutnya, selepas pokok itu berjaya dialihkan, mayat ditemui di bawah runtuhan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti keberadaan mangsa di bangunan usang bekas kuarters itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2022 @ 3:29 PM